Sunday, October 24, 2010

Magika Filem Terbaik FFM23

Magika Filem Terbaik FFM23





SHAH ALAM 24 Okt. - Filem Magika yang sarat dengan elemen cerita-cerita rakyat menepati ramalan peminat filem tempatan apabila diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini malam ini.

Mohd. Shamsul Yusof pula muncul Pengarah Terbaik menerusi filem arahannya, Evolusi KL Drift 2.
Magika arahan pertama Edry Abdul Halim menggondol hadiah berupa trofi dan wang tunai RM50,000, manakala Shamsul menerima trofi serta wang tunai RM20,000.

Hadiah bagi anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sambil diiringi Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim.

Pada majlis itu, kategori Filem Pendek Terbaik dimenangi oleh Project Genex, Filem Animasi Terbaik (Buas), Filem Dokumentari Terbaik (Suatu Ketika Laskar Senoi), Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abdul Halim-Magika), Penyunting Terbaik (Mohd. Shamsul Yusof/Hisham Jupri-Evolusi KL Drift 2), Cerita Asal Terbaik (Ahadiat Akashah-Lagenda Budak Setan), Lakon Layar Terbaik (Jumaatun Azmi-Haq) dan Sinematografi Terbaik (Raja Mukhriz Raja Ahmad-Niyang Rapik).

Pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik diungguli Lisa Surihani menerusi filem Lagenda Budak Setan, manakala Pelakon Lelaki Terbaik milik Bront Palarae menerusi filem Belukar.

Turut disampaikan ialah empat Anugerah Khas FFM23 iaitu Penggiat Belakang Tabir yang dimenangi oleh Johari Ibrahim, Pelakon Veteran Wanita (Datuk Sarimah Ahmad), Pelakon Veteran Lelaki (Tamam Idris) dan Filem Box-Office (Adnan Sempit) yang mencatat kutipan tiket RM7.6 juta.

Sementara itu, FFM23 yang dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) turut menyediakan empat Anugerah Khas Juri yang dimenangi oleh filem Cinta Ais Kacang, Woohoo, Estet dan Mualaf.

Juri FFM23 bagi kategori Filem Cereka diketuai oleh Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin dengan dibantu oleh Panchacharam P. Nalliah, Dr. Naim Ahmad, Kamarudin Abu dan Akmal Abdullah.

Penduduk berdemo tuntut dihubung lebuh raya

Penduduk berdemo tuntut dihubung lebuh raya
 Oct 25, 10 10:52am
Lebih 500 penduduk Bandar Tasik Puteri, Rawang berdemo semalam menuntut sebuah laluan dibina agar kawasan perumahan mereka dihubungkan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKSE)  yang bakal siap tahun depan.

Ini kerana, menurut semasa pembelian rumah pihak pemaju telah menjanjikan laluan tersebut termasuk menyediakan kemudahan asas antaranya dewan serbaguna dan sebuah stesen petrol.

NONE"Semua itu hanya janji tinggal janji sahaja kerana sehingga kini tiada sebarang kemudahan asas disediakan kepada penduduk yang mendiami kawasan itu dianggarkan 20,000 orang.

"Kami terpaksa mengisi minyak petrol kereta sejauh 20 kilometer terletak di Bandar Country Height," kata salah seorang penduduk, Mohd Tarmizi Kasirun,45 yang telah menghuni di kawasan berkenaan sejak tahun 2000.

Demonstrasi aman dan memorandum tuntutan kepada pemaju dilancarkan oleh ahli jawatankuasa badan bertindak KLKSE dipimpin oleh Norazman Samsudin.

Sepanjang perarakan itu,  mendapati penduduk melaungkan kata-kata  provokasi mengkritik pihak pemaju gagal mengotakan janji  membina susur keluar yang menghubungkan kawasan perumahan itu ke lebuh raya KLKSE.
Sambil memegang poster dan kain rentang, segelintir penduduk turut berarak menggunakan motosikal sambil membunyikan hon sebagai tanda sokongan sekali gus mengakibat keadaan lalu lintas jalan raya menjadi sesak.

NONESelepas berdemo, penduduk kemudiannya dijemput berdialog dengan pemaju AP Land Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pemegang konsesi lebuh raya itu Binapuri dan juga anggota Parlimen Selayang, William Leong

Namun, bahang matahari yang mula terasa sekitar jam 12 tengah hari itu menghangatkan lagi  suasana sepanjang sesi dialog apabila berlaku ‘perang psikologi’ antara penduduk dan wakil pihak berwajib yang berakhir sejurus azan Zohor berkumandang.

Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang sesi dialog berlangsung.
Beberapa anggota polis  ditempatkan di dataran Puteri Central Park bagi mengawal keadaan.

NONESementara itu, Pengarah kepada salah sebuah anak syarikat  AP Land, Datuk Nordin Razak berkata, pihaknya berjanji draf plan KLKSE  akan diserahkan kepada pihak berwajib untuk kelulusan dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, proses pengambilan tanah bagi membinan ‘laluan’ di KLKSE perlu mengambil masa selama enam bulan kerana  berdasarkan maklumat diperolehi status tanah tersebut dimiliki syraikat lain.

“Kerja pembinaan laluan susur keluar  400 meter menghubungkan kawasan perumahan penduduk ke lebuh raya tersebut dijangka siap anggaran tempoh 2 tahun,” katanya pada majlis penerangan dan dialog bersama penduduk Bandar Tasik Puteri, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan KLKSE Berhad, Amran Amir, Jurutera Kanan KLKSE Berhad, Sheikh Ahmad Sheikh Abdul Aziz, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemantauan Projek Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Shahril Amin Ahmad, Penolong Pengarah LLM, Burhanudin Yusof Aziz, Pengarah Projek AP Land, Lee Kok Wah serta ahli majlis MPS, Zaidy Abdul Talib.

NONEMajlis penerangan dan dialog penduduk bersama wakil daripada beberapa agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Khidmat Penduduk (JKP) Zon 24, Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pada sidang media, selepas itu, ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menyambut baik cadangan penduduk  menubuhkan jawatankuasa penyelaras melibatkan penduduk,agensi kerajaan dan syarikat swasta bagi memantau secara terperinci dari peringkat awal sehinggalah projek berkenaan siap sepenuhnya.

Menurutnya, jawatankuasa penyelaras akan ditubuhkan dalam jangka masa terdekat  dengan mengambil kira masalah dihadapi penduduk sejak sekian lamanya.

“Kita akan adakan perjumpaan secara berkala  bersama wakil penduduk dengan semua wakil pihak berwajib yang terlibat bagi memastikan kerja pembinaan ini mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Jawatankuasa itu akan memantau kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut untuk mengelakkan timbulnya isu kerja pembinaan lewat daripada tarikh yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Siasatan kemalangan maut: Bas Delima dipandu laju

Siasatan kemalangan maut: Bas Delima dipandu laju
Bas ekpres yang terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 13 nyawa di km 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat 10 Oktober lepas, didapati dipandu 120 kilometer sejam (km/j) selepas memasuki lebuh raya itu dari tol Alor Gajah.
  
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata itu adalah antara penemuan kajian dan analisis saintifik mengenai kemalangan itu yang dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
  
NONEBeliau berkata berikutan kemalangan itu satu mesyuarat membabitkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Puspakom, polis dan Pihak Berkuasa Lebuhraya Malaysia diadakan pada 14 Oktober.
  
Laporan mesyuarat itu dikumpul dan dianalisis oleh satu pasukan berkaitan kemalangan Miros, katanya dalam kenyataan di ibunegara hari ini.
  
Beliau berkata berdasarkan laporan analisis kesan tenaga kemalangan, kemungkinan kelajuan Bas Delima yang membawa 36 penumpang itu, sebelum berhenti ialah antara 94 dan 109km/j.
  
"Selain itu, terdapat kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu yang mungkin dipandu dengan kelajuan 160km/j pada masa kejadian," katanya.
  
Dalam kejadian pada pukul 6.47 petang itu, bas ekspres Delima yang menghala ke Kuala Lumpur dari Melaka hilang kawalan, 'melayang' ke laluan bertentangan lebuh raya dan melanggar sebuah van, dua kereta dan sebuah lagi bas lain, menyebabkan 13 maut dan 38 yang lain cedera.
  
Mengenai keadaan bas ekspres itu, Kong berkata pemeriksaan berkala oleh Puspakom menunjukkan bas itu dalam keadaan baik.
  
"Berdasarkan pemeriksaan Puspakom selepas kemalangan mendapati tayar dan brek bas ekspres itu dalam keadaan baik sebelum kejadian itu berlaku," katanya.
  
Beliau berkata antara kemungkinan punca kemalangan ialah memasuki laluan secara tiba-tiba, aliran trafik yang kritikal di hadapan dan tindak balas yang perlahan daripada pemandu bas itu.
  
Jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan itu boleh dielak jika semua  pengguna mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah, memandu dengan had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar dan kenderaan berat dipandu di laluan perlahan.