"Tindakan perlu diambil sekarang jika Gaza yang dalam keadaan teruk sekarang ini mahu menjadi tempat yang dapat didiami pada tahun 2020," Penyelaras Kemanusiaan PBB, Maxwell Gaylard memberitahu wartawan apabila laporan tersebut dikeluarkan Isnin lalu. "Penduduk Gaza akan meningkat daripada 1.6 juta orang hari ini kepada 2.1 juta orang pada tahun 2020, mengakibatkan kepadatan lebih daripada 5,800 orang setiap satu kilometer persegi," satu kenyataan PBB yang memetik laporan itu.
Infrastruktur merentasi beberapa sektor - elektrik, air dan sanitasi, dan perkhidmatan perbandaran dan sosial - "tidak bertambah seiring dengan keperluan penduduk yang semakin meningkat," menurut laporan itu. PBB mengatakan hanya satu perempat daripada air kumbahan Gaza dirawat. Selebihnya, termasuk kumbahan mentah, masuk ke Laut Mediterranean. Malah kini Gaza, di bawah pelbagai sekatan Israel sejak 2006, sedang mengalami kekurangan bahan api dan potongan kuasa letrik paling teruk, serta tahap pengangguran sekitar 45 peratus. PBB berkata permintaan untuk air minuman dijangka meningkat sebanyak 60 peratus dalam tempoh lapan tahun akan datang.
"Manakala sebarang kerosakan kepada akuifer, sumber air utama, tidak akan dapat dipulihkan jika tiada usaha memulihnya sekarang". Laporan itu turut menyatakan bahawa lebih daripada 440 sekolah tambahan, 800 katil hospital dan lebih daripada 1,000 doktor diperlukan menjelang 2020. 'Di bawah sekatan' Israel mula mengenakan sekatan di Gaza pada Jun 2006 selepas pejuang Gaza menculik seorang tentera Israel, yang hanya dibebaskan Oktober lalu sebagai pertukaran untuk 1,027 orang tahanan Palestin.
Sekatan itu telah diperketatkan setahun kemudian selepas pergerakan Hamas merampas kuasa dengan menewaskan tentera yang setia kepada Presiden Palestin yang mendapat sokongan Barat, Mahmoud Abbas. Sekatan itu telah dikurangkan tetapi kekangan untuk sebarang pergerakan masih dikekalkan. Penduduk di Gaza hidup dengan bantuan PBB, pembiayaan masyarakat asing dan terowong ekonomi yang menyalurkan makanan, bahan pembinaan, elektronik dan kereta dari Mesir. Gaylard menggesa penderma antarabangsa untuk meningkatkan bantuan mereka kepada penduduk Gaza yang 80 peratusnya bergantung kepada bantuan.
"Walaupun rakyat Palestin di Gaza bekerja keras, mereka masih memerlukan bantuan," katanya. "Mereka berada di bawah sekatan. Mereka berada di bawah penjajahan dan mereka memerlukan bantuan kita dari sudut politik dan bantuan infrastruktur." Beliau berkata Gaza memerlukan keamanan dan keselamatan untuk memperbaiki kehidupan penduduknya. "Ia (akan dapat dicapai) dengan berakhirnya sekatan, berakhirnya pengasingan dan berakhirnya konflik." Namun kini masih tiada lagi tanda-tanda akan berakhirnya konflik antara Hamas dan Israel.