Wake bantu golongan mak nyah, HIV
RAMAI di antara kita mungkin tidak pernah mendengar mengenai Wake apatah lagi mengetahui tentang aktiviti yang dilakukannya.
Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ini memberi tumpuan sepenuhnya dalam membantu mereka yang telah disahkan menghidap HIV/AIDS.
Wake merupakan singkatan kepada Pertubuhan Wanita dan Kesihatan (Wake), Kuala Lumpur , yang telah ditubuhkan pada tahun 2001.
Presiden Wake, Abu Bakar Jalalluddin memberitahu, objektif penubuhannya ialah untuk memberi kemudahan tempat tinggal kepada kanak-kanak mahupun mereka yang menerima kesan daripada ibu, bapa atau suami yang positif dengan virus maut itu.
Buat masa ini rumah Wake terletak di Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur .
"Wake dibahagikan kepada tiga rumah iaitu Wake 1, 2 dan 3. Wake 1 dikhususkan untuk kanak-kanak HIV, Wake 2 untuk wanita dan ibu-ibu manakala yang terbaru ialah Wake 3 yang ditubuhkan pada tahun 2005 khas untuk golongan mak nyah.
"Wake di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia khas untuk membantu mereka yang menghidap HIV. Penghidap HIV ini rata-rata keadaan mereka daif dan dipinggirkan masyarakat,'' katanya.
Selain itu, antara aktiviti operasi utama Wake ialah memberi pendedahan serta maklumat kepada mereka yang menghidap virus itu.
Wake beroperasi di Wisma Kraftangan, iaitu kawasan yang menjadi tumpuan kepada golongan mak nyah.
"Kumpulan sasar kita ialah pelacur, pekerja seks, suri rumah yang menghidap HIV, individu dan juga mak nyah selain pengguna dadah.
"Ahli-ahli Wake ini yang telah kembali ke pangkal jalan akan mencari kumpulan sasaran ini. Ahli-ahli ini telah diberi latihan dan kaunseling dan akan digerakkan untuk berjumpa dengan client mereka,'' katanya.
No comments:
Post a Comment